Penilaian Literasi dan Pengetahuan Kelestarian UTeM
Universiti Teknikal Malaysia Melaka melalui inisiatif kelestarian universiti telah membangunkan satu instrumen bagi menilai tahap literasi dan pengetahuan kelestarian dalam kalangan warga UTeM.
Penilaian ringkas ini mengandungi soalan berbentuk objektif serta skala Likert yang bertujuan mengukur tahap kefahaman, pandangan, sikap dan tingkah laku berkaitan konsep kelestarian. Instrumen ini merangkumi empat (4) bahagian dan disediakan dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.
Bahagian A: Maklumat Demografi (5 item)
Bahagian B: Pengetahuan Kelestarian (13 item)
Bahagian C: Sikap terhadap Kelestarian (11 item)
Bahagian D: Tingkah Laku Kelestarian (14 item)
Penyertaan anda akan membantu mengenal pasti tahap kefahaman individu serta menyumbang kepada pengukuhan agenda kelestarian di UTeM dan masyarakat secara keseluruhan. Sertai penilaian ini bagi memperkasa peranan anda dalam membudayakan kelestarian demi masa depan yang lestari.Terima kasih atas penyertaan anda dan selamat maju jaya!
Ringkasan Analisis Survey Kesedaran Kelestarian UTeM 2024
Kajian ini melibatkan seramai 371 responden sah terdiri daripada staf (34.5%) dan pelajar (65.5%), dengan majoriti pelajar tahun pertama.
Secara keseluruhan, dapatan menunjukkan bahawa tahap kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan warga UTeM adalah sangat tinggi. Hampir 99.5% responden menyatakan kesediaan untuk melindungi alam sekitar, manakala majoriti menunjukkan sikap positif terhadap alam semula jadi serta peka terhadap isu-isu global seperti perubahan iklim dan pencemaran udara.
Dari aspek pengetahuan, purata skor adalah 71.4%, dengan pengetahuan tertinggi dalam bidang pengurusan sisa (74.8%), diikuti tenaga (72.5%) dan air (66.8%). Walaupun konsep asas seperti 3R dan pemanasan global difahami dengan baik, terdapat kekurangan kefahaman terhadap konsep lebih teknikal seperti ekonomi kitaran, jejak karbon dan dasar kerajaan.
Bagi amalan kelestarian, skor purata ialah 68.4%. Amalan tertinggi adalah dalam penjimatan tenaga (73.9%), diikuti pengurusan air (68.3%) dan sisa (63.0%). Amalan seperti menutup suis elektrik, menggunakan lampu LED dan mengurangkan pembaziran makanan adalah tinggi, namun amalan seperti pengasingan e-waste, penggunaan sistem tadahan air hujan dan penglibatan dalam aktiviti komuniti masih sederhana.
Analisis korelasi menunjukkan hubungan positif yang signifikan (r = 0.564) antara pengetahuan dan amalan, menandakan bahawa peningkatan pengetahuan berpotensi meningkatkan tingkah laku lestari.
Walau bagaimanapun, antara kekangan utama yang dikenal pasti ialah kekurangan maklumat (51.5%), kesukaran mengamalkan dalam kehidupan harian dan kekangan masa serta kos.
Dari segi cadangan, responden mencadangkan:
- Penambahan tong kitar semula
- Peningkatan hebahan dan kesedaran
- Penganjuran aktiviti kelestarian
- Pemasangan panel solar
- Penanaman pokok
Kesimpulannya, walaupun tahap kesedaran dan pengetahuan adalah tinggi, terdapat jurang dalam pelaksanaan amalan. Oleh itu, pendekatan berfokus kepada pendidikan, kemudahan infrastruktur dan penggunaan media sosial perlu diperkukuh bagi meningkatkan amalan kelestarian secara menyeluruh di UTeM.